Bagaimana dikatakan al-Quran berjaya ‘membekas’ di dalam jiwa seseorang?
Pastinya, mereka yang benar-benar menghayati al-Quran akan merasai ia
begitu hampir dengan mereka.
Apabila diperdengarkan ayat mengenai azab serta seksaan di neraka, hati
mereka begitu takut untuk melakukan kemungkaran. Begitu juga al-Quran
menceritakan ganjaran syurga jika beramal soleh, mereka sedaya upaya
memperbaiki diri dengan harapan dapat menikmati ganjaran syurga Allah di
akhirat kelak.
Itulah antara penghayatan yang perlu dimiliki setiap Muslim dalam
memahami serta menghayati kalam suci al-Quran. Keajaiban al-Quran yang
menjadi mukjizat terbesar yang dikurniakan kepada Rasulullah s.a.w
sebagai pedoman hidup buat manusia dalam mencapai kebahagiaan di dunia
dan akhirat.
Mukjizat al-Quran berbeza dengan mukjizat Rasulullah s.a.w lain kerana
al-Quran tetap kekal dan boleh dilihat ke hari ini. Di dalamnya
terkandung pelbagai hikmah kebenaran.
Terdapat ramai tokoh hebat pada awalnya menolak Islam, tetapi akhirnya
mereka beriman kepada Allah s.w.t selepas mendengar, membaca dan
mengkaji al-Quran.
Tidak hairanlah, generasi sahabat menjadi ahli Quran apabila al-Quran
merubah kehidupan umat Arab ketika itu daripada masyarakat jahiliah
kepada umat bertamadun.
Keajaiban al-Quran dapat dilihat dalam sejarah Umar bin Khattab sehingga
beliau memeluk Islam. Sebelum Islam, Umar seorang lelaki bengis dan
kejam dan pernah berniat untuk membunuh Nabi Muhammad.
Detik perubahan Umar berlaku selepas beliau menghayati beberapa ayat
dari Surah Taha ketika pergi ke rumah adiknya, Fatimah yang ketika itu
sedang mempelajari al-Quran.
Beliau berkeyakinan apa yang didengarnya itu bukan syair Arab.
Kata-katanya sangat indah yang tiada tolak bandingnya dan pada hari itu
juga, Umar memeluk Islam.
Begitulah besarnya pengaruh mendengar bacaan al-Quran sehingga dapat
mengubah peribadi Umar sehingga menjadi insan yang beriman kepada Allah
s.w.t
Allah berhak memelihara kesucian kitab al-Quran daripada dicemari
daripada diubah suai oleh manusia. Hal ini dijelaskan Allah dalam
firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran,
dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya”. (Surah al-Hijr, ayat 9).
Tiada seorang manusia yang mampu mencipta walaupun satu ayat setanding dengan al-Quran.
Bagi mereka yang mengamalkan al-Quran dalam kehidupan seharian pastinya
akan rasa bahagia. Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya
al-Quran ini menunjukkan (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar
gembira kepada orang yang beriman yang mengerjakan (amalan) yang soleh;
sesungguhnya untuk mereka itu pahala yang besar.” (Surah al-Israk ayat
9).
Pada Ramadan yang penuh keberkatan ini kita dituntut untuk bertadarus
al-Quran. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Bacalah al-Quran,
sesungguhnya ia (al-Quran) akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi
syafaat kepada tuannya.” (Hadis Riwayat Muslim).
Umat Islam perlu berusaha mendalami al-Quran dan jangan sampai mereka
menjadi ‘buta’ al-Quran. Sedangkan bahan bacaan santai lain boleh
dihabiskan dalam tempoh tertentu tetapi kenapakah al-Quran dipinggirkan
dan hanya menjadi perhiasan di rumah.
Manusia yang sering dibelenggu keresahan, gundah-gulana dan kesempitan
perlu sentiasa mendampingi Al-Quran supaya mereka kembali mendapat
kekuatan, semangat, kesenangan serta ketenangan di jiwa.
Itulah rahmat yang Allah diberikan kesan daripada beramal dengan
mukjizat agung itu. Ibaratnya, semakin banyak membaca dan mendengar
al-Quran seluruh jiwa raganya semakin terpikat dan seronok kepada
al-Quran.
Malah kesannya lebih terasa jika seseorang itu mampu menguasai al-Quran
dengan alunan suara yang merdu serta fasih bacaannya. Orang lain juga
pasti ‘terpikat’ jika seseorang dapat mempersembahkan bacaannya begitu
baik sekali.
Dalam riwayat, banyak sekali diceritakan, pengaruh bacaan al-Quran pada
zaman Rasulullah terhadap hati orang kafir selepas mendengar ayat
Al-Quran sangat berkesan.
Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal
Abidin (Unisza), Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi, berkata
perkataan mukjizat dalam bahasa Arab bermaksud perkara yang bercanggah
dengan adat kebiasaan.
“Ia sesuatu perkara luar biasa yang ditentukan Allah s.w.t dan
dikurniakan kepada seseorang yang bergelar rasul sebagai tanda
kebenarannya di mana dakwahnya diiringi dengan cabaran dan tiada
tandingan sama sekali.
“Allah mengurniakan Nabi Muhammad mukjizat kandungan al-Quran yang tidak
mampu ditandingi manusia terutamanya di dalam bidang ilmu pengetahuan.
“Antara mukjizat al-Quran ialah keindahan bahasanya yang tinggi dan
halus, susunan bahasa yang baik, ilmu pengetahuan yang membimbing
manusia ke arah kebenaran serta panduan lengkap ke arah kemaslahatan dan
kemakmuran alam semesta,” katanya.
Beliau berkata al-Quran adalah mukjizat yang diturunkan kepada Nabi
Muhammad s.a.w melalui perantaraan malaikat Jibril a.s secara
berperingkat-peringkat selama lebih kurang 23 tahun.
“Di dalamnya mengandungi peristiwa umat terdahulu yang menyentuh aspek
kehidupan manusia seperti cara hidup berkeluarga, bermasyarakat,
beribadah, urusan pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan pembangunan.
“Mukjizat al-Quran dipenuhi dengan keagungan yang tiada tolok bandingnya
dengan kitab lain. Ringkasnya, al-Quran adalah bukti kenabian dan
kerasulan Nabi Muhammad sekali gus ia menjadi bukti bahawa al-Quran
adalah firman Allah dan bukannya ucapan atau ciptaan Nabi Muhammad
sendiri,” katanya.
Engku Ahmad Zaki berkata kandungan al-Quran penuh dengan ajaran bagi memandu manusia menjadi ummah bertamadun.
“Allah berfirman dalam surah Ibrahim ayat 1 yang bermaksud: “Alif, Laam,
Raa’. Ini ialah Kitab (al-Quran) Kami turunkannya kepadamu (wahai
Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari
gelap-gelita kufur kepada cahaya iman (dengan izin tuhan mereka) ke
jalan Allah yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.”
“Rasulullah menjadikan al-Quran sebagai senjata bagi menentang orang
kafir Quraisy sehingga mereka tidak mampu menghadapinya padahal mereka
memiliki kemahiran tinggi dari segi fasahah dan balaghahnya,” katanya.
Beliau berkata al-Quran diturunkan bukan untuk dijadikan simbol
pengiktirafan Allah kepada Nabi Muhammad dan umatnya semata-mata.
“Bahkan ia mempunyai maksud yang lebih penting iaitu setiap kandungannya membawa rahmat kepada seluruh umat.
“Justeru, Rasulullah menggesa umatnya membaca, memahami serta
mengamalkan isi kandungan al-Quran secara keseluruhannya,” katanya.
Engku Ahmad Zaki berkata golongan yang menjadikan �al-Quran sebagai
bacaan utama pada setiap masa akan diberi ganjaran pahala oleh Allah.
“Setiap huruf yang dibaca dikira sebagai 10 pahala sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud:
“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, maka baginya diberi
sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kewajipan seumpamanya, tidak
aku katakan (alif, lam, mim) itu satu huruf, akan tetapi alif satu huruf
dan lam satu huruf dan mim satu huruf. (Hadis riwayat Tirmizi).
“Sejarah membuktikan sahabat seperti Uthman, Zaid bin Tsabit, Ibnu
Mas’ud dan Ubay bin ka’ab sentiasa membaca al-Quran dan khatam pada
setiap Jumaat.
“Begitu juga amalan tradisi yang dilakukan orang dahulu yang sangat menitikberatkan pendidikan al-Quran kepada anak mereka.
Anak tidak dibenarkan keluar rumah selagi tidak membaca al-Quran dan
mereka mengamalkan bacaan al-Quran pada setiap malam selepas Maghrib
secara beramai-ramai,” katanya.
Beliau berkata walaupun perkara itu tiada dalam syariat, ia membuktikan mereka sangat mengambil berat pendidikan al-Quran.
“Namun pada hari ini berapa ramaikah umat Islam yang membaca al-Quran
serta mengambil al-Quran sebagai asas panduan hidup, asas pemikiran atau
berfikir secara Qurani? Inilah persoalan yang perlu direnungi dan
difikir bersama sebagai umat Islam.
“Berfikir Qurani bermaksud bagaimana sumber al-Quran dijadikan pedoman
berfikir sesuatu kejadian dalam kehidupan. Berfikir menerusi jendela
al-Quran menjadikan seseorang itu memiliki jiwa tadabbur (jiwa mengkaji
dan menyelidik).
“AyatAllah bersifat semasa dan sesuai dalam semua kehidupan. Kisah yang
dirakamkan al-Quran ribuan tahun lalu bukan hanya merakamkan apa yang
pernah berlaku pada masa yang lalu, tetapi berulang kembali pada masa
kini dan masa depan,” katanya.
Engku Ahmad Zaki berkata Rasulullah pernah melahirkan kebimbangan bahawa
umat Islam ramai, tetapi berkeadaan seperti buih di lautan kerana lemah
dan tidak berdaya saing.
“Umat Islam mesti yakin al-Quran mampu menjadi ubat dan penawar kepada
segala jenis penyakit sama ada rohani atau jasmani yang melanda
masyarakat masa kini.
“Jangan hanya merujuk al-Quran pada masa-masa tertentu seperti dalam
kesusahan, ketika sakit atau saat menghadapi kematian saja. Ibu bapa
perlu berperanan memprogramkan penghayatan al-Quran dalam keluarga
mereka. Pastikan selepas setiap waktu solat mereka bersama anak-anak
berpeluang membaca, mempelajari serta mentadabbur al-Quran.
“Selain itu, ulang kaji bacaan al-Quran juga boleh dilakukan dengan cara
mendengar bacaan di radio, kaset dan di media elektronik,” katanya.
Oleh Mohd Fadly Samsudin














No comments:
Post a Comment